Sana sini ramai yang mengeluh tentang cuaca bahang ketika ini. Keadaan yang panas ini bukan saja menyebabkan masalah kesihatan seperti demam dan batuk tapi juga mengundang masalah kulit terutamanya jerawat.

Bagi mereka yang memiliki kulit bermasalah, kemunculan jerawat mungkin menjadi lebih banyak daripada biasa kerana inilah persekitaran yang menyebabkan ia tumbuh subur.

Selain daripada faktor hormon dan kebersihan, cuaca panas juga antara punca jerawat tumbuh. Kaitannya, suhu yang panas cenderung membuatkan tubuh lebih banyak menghasilkan peluh.


Peluh yang tidak dibersih bersama kotoran yang tersumbat pada pori-pori kulit akan jadi penyebab jerawat muncul .Jerawat yang tumbuh ini pula bukan sekadar pada kulit wajah tapi juga belakang badan. Ia selalunya meninggalkan parut yang membuatkan kulit tak lagi nampak mulus.

Bagi mengelakkan jerawat musim panas ini menjengah wajah dan anggota tubuh lain ada beberapa langkah yang boleh dilakukan. Masukkan lapan langkah ini dalam rutin anda setiap hari.

1. Cuci wajah selepas melakukan aktiviti di luar. Jangan biar peluh yang kering dan kotoran menempel lama pada wajah. Pori-pori kulit yang tersumbat peluh dan kotoran faktor utama jerawat naik dengan cepat.

2. Jangan kerap menyentuh wajah. Bila wajah berpeluh dan berminyak lap dengan tisu bukan dengan tangan anda terutama ketika ia kotor.

3. Bila mencuci wajah, jangan menggosok atau menyental kerana ia boleh menyebabkan jerawat luka dan lambat pulih.

4. Cuba gunakan mekap 'non-comedogenic' yang lebih lembut untuk kulit yang berjerawat.

5. Amalkan mengoles masker anti jerawat seminggu sekali pada wajah.


6. Mandi paling kurang tiga kali sehari. Ia akan mencegah kotoran dan bakteria masuk ke dalam pori-pori punca jerawat pada badan.

7. Pakai pakaian longgar untuk mencegah penguapan peluh. Ia juga buat anda rasa selesa, Pakaian yang ketat mendorong peluh melekat pada kulit tubuh.

8. Bagi yang bertudung, jangan mengikat atau pin dengan ketat lilitan selendang. Ia boleh menyebabkan rasa gatal, ruam dan jerawat bawah dagu dan bahagian tepi wajah.

Selain daripada tip di atas, pastikan juga anda minum banyak air ketika cuaca panas bahang ini. Ia memastikan kulit mendapatkan kelembapan yang secukupnya dan mengurangkan masalah.

Sumber www.healthmeup.com via vanillakismis.my