Setiap orang terutamanya wanita mengimpikan untuk memiliki kulit wajah yang bersih tanpa kesan cela. Pertumbuhan jerawat di wajah ibarat mimpi ngeri. Jerawat sukar untuk disingkirkan dalam masa sehari dua. Lebih merisaukan adalah parut jerawat yang kadangkala ambil masa berbulan atau bertahun untuk dihilangkan.
Selain jerawat, wanita juga berdepan dengan masalah kulit kering dan kusam. Kulit yang berminyak pula kerap menjadi punca kepada masalah bintik-bintik hitam dan putih akibat pori-pori yang tersumbat.
Biarpun terdapat banyak produk penjagaan wajah di pasaran, tak salah rasanya jika kita mengamalkan petua penjagaan muka secara tradisional. Biarpun kelihatan agak leceh, namun bagi mereka yang rajin mengamalkannya pasti puas hati dengan hasil yang diperolehi.
Jom kita korek rahsia penjagaan wajah secara tradisional.
25 Petua Penjagaan Muka Secara Tradisional
Menghilangkan Jerawat
1) Bersihkan muka seperti biasa untuk menanggalkan kotoran dan sisa makeup. Selepas itu cuci muka dengan air kelapa tua. Biarkan ia kering sendiri di muka. Kemudian bilas dengan air bersih. Amalkan petua ini tiga kali seminggu untuk hasil yang berkesan.
2) Setelah membasuh muka, tutup muka dengan kain atau tuala yang agak lembab. Rapatkan muka ke wap nasi atau wap air panas selama beberapa minit. Kemudian gunakan penyegar muka.
3) Ambil sedikit kanji nasi dan sejukkan. Sapukan kanji nasi pada jerawat dan biarkan ia kering di muka. Selepas itu basuh muka dengan air suam. Seeloknya diamalkan setiap hari sehingga jerawat berkurangan.
4) Jika berdepan dengan masalah jerawat sukar hilang, gunakan daun teh. Caranya rebus beberapa helai daun teh berwarna hijau. Ketika daun masih suam, lekatkan pada jerawat dan biarkan sehingga ianya kering.
5) Korang juga boleh tumbuk sedikit bunga melur bersama air hingga menjadi lumat. Selepas itu sapukan ke muka dan biarkan kering. Setelah kering basuh muka dengan air kelapa muda.
5) Amalkan basuh muka dengan air basuhan beras. Kemudian biarkan ia kering sendiri di muka. Setelah kering, cuci muka dengan air bersih. Amalkan secara kerap.
6) Rendam segenggam beras hingga kembang. Kemudian toskan airnya. Ambil segenggam biji betik muda dan tumbuk bersama beras sehingga lumat. Campurkan dengan sedikit air. Bentukkan menjadi bebola yang kecil-kecil dan jemur sehingga kering. Setelah kering, boleh disimpan dalam bekas kedap udara. Cara memakainya, bancuh dengan air dan sapukan di seluruh bahagian wajah.
Menanggalkan Bintik Hitam Di Muka
7) Tumbuk beberapa helai daun pucuk jambu batu. Kemudian campurkan dengan bedak sejuk. Letak sedikit air dan sapukan ke muka setiap kali sebelum tidur.
8) Rendamkan sehelai tisu ke dalam dua biji putih telur. Tampalkan tisu tersebut ke muka terutamanya di bahagian wajah yang mempunyai masalah bintik hitam. Biarkan kering kemudian baru tanggalkan. Selepas itu basuh muka dengan air bersih dan pencuci muka. Amalkan dua kali seminggu.
9) Lumatkan sehelai daun nangka yang agak tua dengan sedikit air. Kemudian sapukan pada muka yang telah dibersihkan. Biarkan kering. Selepas itu baru cuci muka sekali lagi.
10) Ambil sedikit beras pulut dan kulit kayu manis. Goreng kedua-duanya tanpa minyak sehingga beras pulut menjadi agak kekuningan. Kisar dan simpan dalam bekas kedap udara. Bila hendak menggunkannya, ambil sedikit campuran tersebut dan letak beberapa titis air. Kemudian gosokkan pada muka dua kali seminggu.
Cara Untuk Tegangkan Kulit Muka
11) Tumbuk beberapa helai daun jambu batu sehingga lumat. Kemudian letakkan sedikit air. Sapukan ke muka setiap malam.
12) Campurkan beberapa titik jus limau nipis bersama sedikit bedak sejuk. Kemudian sapukan ke muka. Kulit akan terasa pedih sedikit. Amalkan setiap hari. Hasilnya boleh dilihat dalam masa seminggu.
Menghilangkan Parut di Muka
13) Kisar atau tumbuk beberapa batang kulit kayu manis sehingga menjadi serbuk. Kemudian campurkan dengan sedikit air. Sapukan ke bahagian yang berparut. Amalkan secara kerap sehingga parut hilang.
14) Tumbuk atau kisar kulit kayu manis sehingga menjadi serbuk. Selepas itu campurkan dengan sedikit madu lebah. Setiap malam sebelum tidur, sapukan kebahagian yang berparut.
15) Kisar timun dan kemudian tapiskan airnya. Ambil hampas timun dan sapukan pada muka. Biarkan selama setengah jam. Kemudian cuci bersih dengan air suam.
Kulit Muka Lembut dan Cerah
16) Parutkan seketul ubi kayu dan sapukan pada muka. Biarkan sehingga kering. Selepas itu cuci muka dengan air bersi . Amalkan secara kerap.
17) Campurkan kuning telur, parutan lobak merah dan sedikit jus limau nipis hingga sebati. Sapukan pada kulit muka dan biarkan kering. Selepas itu cuci muka dengan air bersih.
18) Parut sebiji kentang dan perah airnya. Sapukan pada muka. Biarkan kering kemudian cuci dengan air bersih.
Hilangkan Parut Demam Campak
19) Ambil beberapa helai daun semambu dan tumbuk hingga lumat. Sapukan ke parut dan biarkan kering. Amalkan sehingga parut hilang.
Melicinkan Kulit Muka
20) Kisar sedikit beras pulut sehingga menjadi serbuk. Tambah sedikit air dan sapukan ke seluruh bahagian muka. Biar semalaman. Keesokkannya cuci muka dengan air suam. Amalkan seminggu sekali.
21) Campurkan satu sudu besar madu lebah dengan satu sudu besar susu tepung. Sapukan pada seluruh muka dan biarkan kering. Kemudian basuh muka dengan air suam. Amalkan dua kali seminggu.
22) Campurkan sedikit bedak sejuk, air asam jawa dan serbuk kunyit. Sapu dan gosok perlahan-lahan pada muka selama beberapa minit sebelum mandi. Kemudian cuci bersih dengan air suam. Amalkan setiap hari.
23) Gosokkan serbuk teh yang telah digunakan ke muka. Biarkan selama 3 minit, selepas itu cuci dengan air suam.
Mengekalkan Seri Wajah
24) Goreng secawan beras tanpa minyak sehingga kekuningan. Kisar sehingga menjadi serbuk. Campurkan dengan sedikit putih telur, air limau nipis dan satu sudu teh air kunyit. Sapukan pada muka kecuali bahagian mata.
Menghilangkan Panau di Muka
25) Gosokkan lengkuas pada kulit yang berpanau. Biarkan seketika, kemudian cuci dengan air bersih. Amalkan secara kerap.
sumber notainfo.com
loading...