Sebelum ini nama penyakit difteria agak asing bagi kita memandangkan kejadiannya di negara ini amat terpencil. Namun masyarakat mula buka mata bila dikejutkan dengan kewujudan kembali difteria selepas dua kanak-kanak mati akibat penyakit ini beberapa hari lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kelmarin melalui satu kenyataan akhbarnya telah mengesahkan dua kematian kanak-kanak akibat penyakit difteria iaitu di Melaka dan Kedah. Penyakit yang seharusnya tinggal dalam lipatan sejarah selepas berjaya disekat penularannya melalui vaksin kini berulang.
Namun dalam kedua-dua kes kematian yang berlaku itu pesakit tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.
Akibatnya di laman sosial ada yang mula menyalah golongan antivaksin di negara ini atas kemunculan penyakit yang pernah melanda Rusia pada tahun 1994 dengan mencatatkan lebih 39,703 dijangkiti penyakit ini.
Melihat apa yang terjadi di negara Rusia itu sewajarnya penyakit difteria ini ditakuti penularannya. Bagi ibu bapa sebaiknya semak kembali jadual imunisasi anak, pastikan mereka telah mendapat suntikan vaksin ini.
Pada masa yang sama ketahui lebih mendalam tentang penyakit difteria ini melalui info yang dipetik dari artikel Dr. Shaiful Ehsan dalam www.mmgazzate.com
Apa itu difteria & kenapa ia bahaya
Difteria adalah jangkitan kuman oleh bakteria “Corynebacterium diphtheria”. Bakteria ini akan mengeluarkan toksin yang berbahaya kepada pengidapnya yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung, kegagalan fungsi saraf dan kegagalan pernafasan, justeru membawa maut.
Ia boleh menghasilkan pembentukan seakan lapisan selaput nanah berwarna kelabu-kehijauan pada saluran kerongkong pesakit sehingga jauh ke dalam bahagian laluan pernafasan atas (larynx), yang mana boleh menyebabkan kesukaran pesakit bernafas.
Golongan berisiko dijangkiti?
Umumnya terjadi pada mereka yang tidak diberi suntikan vaksin pencegahan difteria.
Gejala-gejala difteria?
Perlu ditekankan di sini difteria boleh hadir dengan gejala yang sangat tidak khusus pada peringkat awalnya, seperti gejala-gejala demam biasa. Antaranya termasuklah demam ringan dan sederhana, sakit tekak dan sakit ketika menelan atau bengkak leher.
Justeru, ianya boleh disalah-anggap sebagai jangkitan kuman tekak yang biasa sekiranya tidak disyaki lebih awal dan dipandang serius. Akhirnya, pesakit boleh hadir dengan kesukaran bernafas, mahupun kematian.
Kebarangkalian kematian?
Tanpa rawatan awal, ia boleh mencecah kepada keberangkalian kematian sehingga 20 peratus, terutama pada kanak-kanak dan golongan yang lanjut usia.
Bagaimana ia boleh merebak?
Difteria sangat MUDAH merebak melalui batuk dan bersin pesakit.
Bagaimana jangkitan difteria dapat dikesan?
Difteria dapat dikenalpasti apabila pihak doktor mengambil sampel kuman pada tekak pesakit dan mengenalpasti kuman tersebut di makmal. Namun rawatan awal akan senantiasa diberikan pada kali pertama berjumpa pesakit biarpun kuman belum dapat dikenalpasti. Ini kerana, penyakit difteria ini boleh menjadi teruk dalam masa yang singkat.
Adakah ianya boleh dirawat?
Ya. Bakteria ini dapat dikawal dengan rawatan antibiotik seperti penicillin atau erythromycin. Terdapat juga keperluan antitoxin yang mana mampu mengawal penularan toksin difteria di dalam darah. Namun, ianya tidak dapat memusnahkan toksin yang sudah melekat pada tisu badan.
Perlu diingatkan tidak semua fasiliti kesihatan ada mempunyai antitoksin tersebut kerana amat jarang penyakit ini berlaku. Pesakit juga perlulah diberi pemantauan rapi di dalam hospital dan dikuarantikan untuk mencegah jangkitan kepada individu yang lain.
Bolehkah difteria berulang?
Ya, jangkitan difteria boleh berulang biarpun anda pernah menghidapi jangkitan difteria. Justeru, setiap individu perlulah mengambil langkah pencegahan dengan mendapatkan imunisasi difteria yang berkesan melalui suntikan vaksin dan mampu menurunkan risiko mendapat jangkitan difteria.
Apakah cara terbaik mencegah difteria?
Cara terbaik mencegah difteria adalah mendapatkan imunisasi vaksin difteria.
Bagaimanakah jadual imunisasi difteria di Malaysia?
Pemberian imunisasi vaksin di Malaysia adalah diberi serentak dengan imunisasi penyakit polio dan tetanus yang diberikan pada bayi berusia 2 bulan, 3 bulan dan 5 bulan (keseluruhan 3 dos) dan mendapat dos booster pada usia 18 bulan dan 7 tahun.
Bagaimana jika anak saya tidak pernah mendapatkan imunisasi difteria?
Imunisasi difteria boleh diberikan biarpun anda sudah menjangkau usia kanak-kanak, remaja mahupun dewasa dan tidak pernah mendapatkan vaksin difteria. Sila dapatkan maklumat lanjut dari pihak doktor anda untuk maklumat lanjut vaksin tersebut.
Sumber: http://www.mmgazette.com Artikel oleh Dr. Shaiful Ehsan
via http://www.vanillakismis.my/
loading...