Dosa Ibu Bapa Jadikan Anak Keras Hati? - BACA - SHARE

dosa-ibu-bapa
KEROSAKAN ANAK KIFARAH DARI DOSA IBU BAPA
Sehari dua ini kita disajikan dengan kes-kes buang bayi yang bertali arus. Ajaran sesat pula tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Itu tidak termasuk keruntuhan akhlak yang tidak lagi boleh dipandang remeh. Jenayah bunuh, ragut semakin menjadi-jadi. Anak-anak sudah tidak kenal budi bahasa dan adab sopan. Si kaya terus menindas. Yang berkuasa semakin rakus dengan pelbagai bentuk korupsi, kronisme dan nepotismenya.
Di RPWP, semakin hari semakin banyak kes-kes rumahtangga dan keruntuhan akhlak anak-anak yang dirujuk bagi mendapat ulasan dan pedoman untuk mengatasinya. Semakin ramai ibubapa yang telah putus asa, tidak mampu lagi memperbaiki keadaan dan ingin menyerahkan sahaja anak mereka sendiri. Yang anak angkat apatah lagi. Padahal mereka tahu yang keutamaan kami ialah anak yatim dan asnaf fakir. Bahkan mereka lihat sendiri yang rumah ini sudah penuh dan padat..!
Ada juga yang kami cuba ambil dan bantu memulihkannya. Dilema yang kami hadapi ialah apabila anak ini terlalu dimanjakan oleh ibubapa sehingga usaha pemulihannya menjadi sukar. Kami dapati jauh lebih mudah membentuk akhlak anak yatim piatu kerana mereka lebih patuh dan sanggup menganggap kami ibubapa mereka sendiri. Tidak seperti anak-anak yang masih ada ibubapa, tambahan yang jenis dimanja dan mewah hidupnya.
Oleh itu, kami tuliskan artikel ini agar ia boleh dijadikan pedoman oleh ibu bapa di luar sana. Mencegah kerosakan itu jauh lebih baik dari merawat.
SIKAP IBUBAPA YANG MEROSAKKAN ANAK SENDIRI TANPA SEDAR
Berat untuk kami kongsikan penemuan ini namun kami tiada pilihan. Kebanyakan kerosakan anak-anak adalah berpunca dari ibubapanya, iaitu dari dalam rumah sendiri. Kemudian barulah dari pengaruh dunia anak-anak itu seperti rakan sebaya, kaedah pendidikan di sekolah, pengaruh media dan sebagainya.
Ada ibubapa yang asalnya susah lalu berusaha untuk berjaya dan hidup senang. Setelah itu mereka berusaha untuk mempastikan anak-anak mereka berjaya. Kononnya tidak mahu anak mereka mengalami kesusahan seperti mereka dahulunya. Apa sahaja yang diminta si anak mereka turuti sehingga ramai yang lupa memerhatikan akhlak dan jatidiri anak-anak apabila tumpuan mereka hanya pada kecemerlangan akademik dan kerjaya semata-mata.
Akibatnya hari ini ramai ibubapa yang datang mengadu masalah akhlak anak mereka, padahal anak itu cemerlang dalam akademik dan kerjaya. Ramai ibubapa yang mengeluh kerana anak mereka tidak pedulikan batas agama, tidak menghormati orang tua, suka melawan dan tidak mendengar kata, malas bekerja, tidak pandai bergaul dan sebagainya. Ada yang malah mengadu anak mereka mungkin sudah tukar agama.
Siapakah yang memanjakan anak sehingga ia jadi manja? Siapakah yang membiarkan anak tidak disuruh untuk ikut bekerja sehingga jadi pemalas dan tidak kreatif? Siapakah yang mengikuti sahaja kehendak anak sehingga ia jadi pemboros dan keras kepala? Siapakah yang tidak berinteraksi dengan anak kerana sibuk mengejar dunia sehingga ia renggang dari ibubapa dan tidak pandai berbicara? Siapakah yang tidak menunjukkan cara hidup beragama sehingga anak sanggup hidup seperti jahiliyah?
Sebenarnya itu semua bermula dari rumah, hasil sikap ibubapa terhadap anak sendiri. Kegagalan ibubapa menerapkan ‘rule and regulation, baundary and limitation’ akan menyebabkan anak jadi liar. Disiplin yang dilonggarkan oleh ibubapa ini jugalah yang menyebabkan anak-anak kosong jiwanya lalu mudah terpengaruh dengan rakan sebaya, media dan sebagainya.
DOSA LAMPAU IBUBAPA YANG MENULAR SEBAGAI KIFARAH
Kami rujuk kepada bencana zina, rasuah, dadah dan berbagai-bagai lagi. Hasil kajian kami menunjukan begitu ramai ibubapa yang anaknya ada masalah seperti ini pernah melakukan pelbagai dosa yang sama. Bahkan kajian kami menunjukkan ramai ibubapa yang telah berzina sebelum maupun selepas perkahwinan mereka sendiri.
Hari ini ramai ibubapa yang mengabaikan hukum hakam sewenang-wenangnya. Ada yang mengadukan masalah sosial / zina anak gadisnya. Malangnya sibapa yang mengakui banyak berzina sebelum menikahi isterinya dahulu juga masih berzina dengan gadis lain (menduakan isteri) hingga sekarang.. Nauzubillah.
Dari segi psikologi dan sosiologi, semua perkara haram yang pernah dilakukan oleh ibubapa, sekalipun di belakang anak mereka tetap akan dapat dihidu dan ditiru oleh anak-anak.
Habit melanggar yang haram dan mengabaikan yang wajib inilah yang akan membentuk peribadi ibubapa itu sendiri menjadi hamba yang derhaka. Habit itu terpapar setiap hari depan anak-anak lalu ditiru secara pekej. Sekalipun kita cuba berlakun baik atau menyembunyikan dosa-dosa itu di depan anak, namun kita sering tidak sedar keperibadian itu terserlah juga di sana-sini.
Anak-anak sangat sensitif untuk mengesan dan meniru segala perbuatan buruk berbanding amalan yang baik. Inilah antara punca ramai ibubapa jadi pening kepala dari mana anak-anak mereka membentuk semua sikap dan akhlak yang negetif itu. Bukan dosa ibubapa itu yang akan terbeban pada anak-anak, tetapi sikap pendosa itu yang akan ditiru lalu anak-anak turut melakukannya dan ikut berdosa.
KESIMPULAN
Bentuklah akhlak dan disiplin diri kita jika kita mahu anak-anak kita berdisiplin. Laksanakan segala perintah Allah dan jauhi segala laranganNya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh secara kaffah. Selalulah membaca dan merujuk alquran dan jelaskan disiplin solat kepada anak-anak sejak kecil lagi. InsyaAllah semua amalan baik yang meraka lihat itu mampu disemai dalam diri mereka.
Anak-anak lebih mudah mengikut apa yang mereka lihat dari apa yang kita kata. Apa yang mereka lihat di rumah dari peringkat awal itu akan melekat dan mengisi jiwa putih mereka.
Jika anak-anak mula melangkah ke sekolah dalam keadaan diri yang masih kosong, tidak ditanamkan minat terhadap agama dan akhlak mulia, maka di situlah pengaruh rakan sebaya dan dunia luar akan mudah merasuk dan mempengaruhi mereka. Jika dari rumah sudah cenderung kepada budaya dan sikap yang negetif, maka anak akan melebarkannya di sekolah nanti. Jika dari rumah jiwa sudah terisi, tahu batas dan aturan agama, insyaAllah mereka tidak mudah terpengaruh.
Oleh itu, jika ibubapa pernah lalai atau sering melakukan dosa, hentikanlah dengan serta-merta. Lebih lama kita meneruskan amalan buruk, lebih mudah untuk anak mengesan dan menirunya.
Ramai sudah murobbi tahfiz yang mengeluh dengan sikap ibubapa yang masih mahu berpoya-poya dengan benda haram, tidak juga peduli suruhan agama, tetapi mahukan anaknya dibentuk jadi ‘malaikat’. Makanan dari punca haram dari rumah telah menjadikan ibubapa melupakan soal halal haram. Sikap itu ditiru oleh anak-anak bersama makanan dari sumber haram tadi.
Marilah membanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah. Nampakkan amalan baik dengan penuh keikhlasan dan tawadduk kepada anak-anak sehingga mereka tidak dapat mengesan dosa lampau kita. Semuga dapat mereka memulakan hidup mengikut tabiat dan amalan baik yang kita paparkan setiap hari.
Sesungguhnya Allah benci kepada kefasikan, kemunafikan dan golongan yang mencampur-adukkan amal/kerja yang baik dengan amal buruk. Ketahuilah bahawa Allah menerima taubat dengan sedekah, zakat, serta kerja kebajikan dan jihad fi-sabilillah.(QS: 9 AT-TAUBAH 101-106).
Tunjukkanlah kerjabuat yang Allah suka ini kepada anak-anak kita agar ianya menyerap ke dalam jiwa mereka untuk membentuk jiwa yang soleh. Janganlah sampai kerana kita meneruskan kerja dosa kita, lalu anak-anak menirunya dan turut menjadi pendosa yang dikaitkan dengan dosa kita pula.
Hari ini ramai yang sudah tidak lagi merasakan bahawa arak, zina, rasuah, riba’, menipu, mencuri, fitnah, bahkan segala macam kedurhakaan terhadap ibubapa dan Allah itu sebagai ‘satu dosa’. Sebenarnya, itulah sajian makanan dan pakaian sebenar (sajian minda dari sistem kehidupan yang kita ‘pakai’), yang kita berikan kepada anak-anak kita saban hari.
Sistem hidup terkutuk yang kita pakai, iaitu suka melanggar yang haram dan mengabaikan yang wajib itulah yang bakal membentuk akhlak durjana yang menjadi darah daging anak-anak kita melalui makanan haram yang kita sajikan setiap hari. Jika Muzammil (QS:73) itu bermakna kita terlena/tidur berselimut, maka setelah terjaga, jangan lagi bertangguh (berkemul) pula.
QS:74. Al Muddatstsir 1-5: “Hai orang yang berkemul. Bangunlah, lalu berilah peringatan (nazir)! Demi(dan) Rabbmu besarkanlah. Demi(dan) pakaianmu bersihkanlah. Demi(dan) perbuatan dosa tinggalkanlah”
Kita semua sedia maklum apa yang diwajibkan dan apa yang dilarang Allah. Jika kita merasa pernah melanggar larangan dan meninggalkan suruhan itu, segeralah menyesalinya dengan berusaha sepenuh kesungguhan agar fitrah ‘jiwa hamba yang merasa berdosa’ itu terlihat jelas di wajah kita oleh anak-anak kita. InsyaAllah taubat kita akan diterima dan anak-anak kita tidak terikut-ikut dengan dosa itu.
Semuga Allah terima segala amal baik dan mengampuni segala dosa lampau kita dengan amal soleh, melalui usaha ISLAH (berubah) yang bersungguh-sungguh itu.
WARGA PRIHATIN - [sumber: www.facebook.com/wargaprihatin VIA amekau.com]

Suka dengan ini?
|

loading...